Pasar Raya Tawar Harga Murah



KUALA LUMPUR - Harga barang keperluan Aidilfitri yang dijual di beberapa pasar raya besar sekitar ibu kota lebig murah berbanding di kedai biasa dan pasar basah.

Malah beberapa barang kawalan sempena Aidilfitri seperti ayam, ikan, telur dan daging kerbau import dijual dengan harga lebih murah berbanding harga siling yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum ini.

Presiden Lembaga Perlindung dan Kebajikan Penguna Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, harga ayam yang tidak dipotong dijual dengan harga RM7.09 sekilogram berbanding harga siling RM7.70 sekilogram.

Harga Ikan mabong dijual RM11.99 sekilogram berbanding harga siling RM12, selain itu daging kerbau import juga dijual RM14.84 berbanding harga siling RM15," katanya selepas meninjau harga barang di pasar raya besar Giant, Bandar Kinrara 5, Puchong di sini semalam.

Selain itu, Saharuddin berpuas hati apabila pasar raya besar dapat memenuhi keperluan pelangan dan tiada aduan berhubung kehabisan bekalan barang keperluan menjelang Aidilfitri seperti sebelum ini.

"Jika sebelum ini selalu ada masalah kehabisan bekalan gula atau minyak masak di pasaran, tahun ini semua masalah itu tidak berlaku dan pasar raya besar berjaya memenuhi keperluan dan permintaan pengguna,' katanya lagi.

Tambah Saharuddin, pihaknya juga akan memastikan barang keperluan mencukupi sehingga seminggu selepas raya bagi mengelakkan berlaku pembelian panik dan kenaikan harga.